Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘bicara hati’ Category

Semakan terakhir dari akhbar2 harian berterusan di paparkan dengan komentar pelbagai pihak berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain selain Islam dalam penyebaran fahaman terseleyeng mereka. Penulis bukanlah berlatar belakangkan undang2 untuk menyerbu masuk ke dalam perbincangan awam berkenaan isu yang telah jelas dan nyata dan telah sepi dari arus perdana selama puluhan tahun bumi Malaysia (kini menjadi 1Malaysia). Malas untuk berbicara dengan mereka yg sengaja buat2 tidak faham akan kekacauan, kekeliruan, keamukkan mendatang.

Semakan seterusnya dalam buku rujukan perlembagaan, terbaca “Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ kepada orang Islam untuk tujuan penyebaran agama, tetapi ia boleh digunakan untuk bukan Islam bagi tujuan yang sama”…..??? Bahana bila rujukan sebenar dari Yang Maha Pencipta iaitu Al-Qur’an di sisihkan dan panduan ciptaan manusia dijadikan asas. Saya,,,, agak kaget memikirkan perihal anak2 sendiri yang sedang dibesarkan, dalam suasana seperti sekarang…. hanya harapan doa, solat dan ketaatan kepadaNya sedaya mungkin menjadi timbal balas saya kepada Allah agar kita, ibubapa, anak2, generasi mendatang, mendapat perlindunganNya dari bahana bencana, musibah kerana kealpaan kita.

Seingat saya di zaman kanak2, setiap kali kalimah suci ini tertulis di akhbar atau di mana2 helaian kertas, saya akan terasa takut akan terpijaknya, takut kalau2 acik nasi lemak akan gunakan halaman tersebut buat bungkus nasi lemaknya… kerana hormat kita walaupun sekadar satu patah perkataan, tertulis di halaman akhbar… kini, jikalau kekallah keputusan mahkamah itu maka bukan saja di akhbar secara semborono, malahan di risalah2 edaran di tempat2 yg bukan mengajar untuk kita taat kepada Yang Maha Esa pun akan tercetak, tersebar, terpampang kalimah yang suci bagi kita... hanya sebak dada dan senak ulu hati… 😦

Read Full Post »

Walaupun agak lewat saya ingin juga menotakan untuk diri sendiri terutamanya sedikit peringatan untuk meneruskan kehidupan di 1431H supaya waktu umur di tahun ini menjadi lebih bermakna dan insyaallah mendapat keredhaanNya.

Imbas kembali bagaimana kita memulakan tahun 1431H dan 2010 ini….. di Malam Jumaat 1 Muharram 1431H, segelintir umat Islam memenuhi ruangan solat masjid untuk mengisi masa dengan doa, zikir, membaca al-Qur’an dan amalan2 sunat yang lain. Kita membaca doa akhir tahun 1430H dan doa awal tahun 1431H walaupun segolongan daripada kita mendakwa amalan sedemikian (doa specific untuk akhir dan awal tahun) bukanlah dari amalan yg diamalkan oleh junjungan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Kita tinggalkan hal itu untuk perbincangan dikala lain. Di tonjolkan juga beberapa pemimpin negara mengunjungi ruang solat untuk beribadat. Saya kurang pasti tujuan sebenar tetapi kita bersangka baik dan bersyukur kerana masih ada di kalangan para pemimpin yang menampilkan teladan yang baik kepada masyarakat awam spt kita.

Di malam Jumaat seterusnya, 25 Disember segolongan besar juga muda-mudi Melayu (di lahirkan Islam) menjamu selera dengan bersuka ria sambil menonggak air kencing syaitan di merata kelab hiburan di kota, dan di malam Jumaat 1 Jan 2010, kemuncaknya, bertempik bersorak terkinja-kinja, terloncat-loncat (terlondeh), anak2 muda, tua, atuk dan nenek (seorang ditangkap khalwat) menyambut malam sambutan yg tiada kena mengena dengan Islam yg dianuti…. JAIS melaporkan sebanyak 52 pasangan (104 orang jika semuanya satu lelaki satu wanita) ditangkap (dan berapa ramai yg lolos?) Dan yang sangat menduka citakan saya, para pemimpin negara juga bersama2 menyambut malam 1 Jan yang tiada kena mengena dengan ajaran agama kita pun…pemimpin yang sama dengan sayu sugul menyertai sambutan 1 Muharram yang lalu….

Satu persoalan timbul dibenak saya, selepas Tsunami besar Dis 2006, sambutan 1 Jan 2007 di sambut dengan solat hajat dan majlis2 ibadah serta dalam suasana sugul, dengan gaya berperasaan ‘kerdil’. Tetapi derita, kesugulan, kesedihan Tsunami 2006 hanya tinggal kenangan sedih di kalangan ahli keluarga mangsa, tidak lagi di kalangan masyarakat dan pemimpin. Apakah kita hanya akan rasa insaf, sayu, rasa ‘kerdil’ apabila di timpa bencana seumpama tsunami 2006? Di masa kita tengah senang lenang ini cubalah sekali sekala ziarah ke kuburan, singgah ke rumah rawatan, ke rumah anak2 yatim, lihat sendiri kekerdilan kita, timbulkan rasa ‘kesyukuran yang amat’ akan Rahmat Allah takkala ramai yang lain menderita…emosi ni.

Semoga, hari2 mendatang, akan terus menjadi hari yang lebih baik buat kita semua.  Antara doa dan harapan saya di 1431H ini ialah semoga cerdik pandai ahli2 agama di negara kita bertindak berlandaskan ilmu yang mereka ada bukan di atas emosi semasa mereka. Bersama2 kita meningkatkan martabat agama tercinta, insyaallah yg lain akan datang serta. Semoga bertambah2 ukhwah sesama kita, walaupun berlainan pendapat, tetapi dapat kita kengkang perbezaan dan pupuk kecintaan persaudaraan, tanpa perlu saman menyaman, tanpa perlu kutuk mengutuk, tanpa perlu caci mencerca, dan tanpa perlu mengadu domba. Amin

Read Full Post »

Maghrib hari ini insyaallah berlabuhlah 1430H dan membuka tirai 1431H. Banyak tempat2, masjid2 yang menganjurkan majlis2 ilmu, berdoa dan amalan lain yang bertujuan untuk memupuk ukhwah Islam semoga terus berkembang di tahun mendatang.

Ramai bloggers yang memaparkan doa akhir tahun dan doa awal tahun, dan jika yg masih tiada bolehlah rujuk di mana2 blog yg memaparkannya. Dan seperti biasa akan ada juga bloggers yg akan menafikan amalan2 doa akhir dan awal tahun ini, menurut mereka ini adalah bukan dari amalan sunat dan tidak wajar dilakukan. Rujuklah bolg2 mereka untuk membaca hujjah2 bernas mereka.

Saya cuma terpanggil bila membaca petikan Dewan Negara hari ini (sidang 16 Dec 2009). Seorang Timbalan Menteri menggesa majikan2 membenarkan para pekerja untuk pulang awal hari ini 17 Dec 2009…! Wahhh, pak menteri pun peka rupanya dengan sambutan awal Muharram, ingat saya. Tapi bila baca berita penuh, rupanya berita tersebut berbunyi ” Timbalan Menteri Belia dan Sukan di sidang Dewan Negara menggesa majikan benarkan pekerja pulang lebih awal hari ini 17 Dec 2009 supaya para pekerja dapat menonton perlawanan akhir bolasepak Sukan SEA di Laos….. tambah beliau lagi, jika tidak dapat benarkan maka majikan digesa untuk sediakan TV dan benarkan pekerja menonton perlawanan tersebut dari jam 6:00pm.

goooooaaallll!

Nah! mana yang kita hendak pilih? Samada ke masjid surau dan sertai majlis berdoa akhir tahun dari jam 6:30pm dan bersama lagi berdoa selepas solat Maghrib berjemaah serta mengikuti majlis ilmu selepas solat Maghrib? Atau bersama2 dengan Pak Timbalan Menteri menonton perlawanan akhir bola sepak sukan SEA dari Jam 6:00pm sehingga habis, di kedai2 mamak, di ruang tamu rumah atau di pejabat? Pilihan adalah hak sendiri, cuma kekawan yg sedia membantu memberi nasihat peribadi.

SELAMAT TAHUN BARU 1431H UNTUK SEMUA. SEMOGA TAHUN INI MENJADIKAN KITA LEBIH DEKAT DENGAN KEREDHAANNYA, DAN LEBIH BERKAT KEHIDUPAN KITA SERTA DI AMPUNKAN SEGALA DOSA YG LALU DAN YG AKAN DATANG

Read Full Post »

Dalam saya menjelajah mencari ilmu untuk mencari Cinta Allah, saya telah sampai ke satu bandar di selatan Semenanjung, berdua dengan seorang teman. Kami telah diketemukan dengan seorang alim yang dikatakan terkenal di rantau Arab, cuma namanya tidak timbul di bibir masyarakat kita, mungkin kerana inilah dunia kita, terlampau sibuk dengan pengejaran duniawi, cuma maklum dengan tokoh2 keduniaan. Dan mungkin juga inilah jalan yang di pilih individu istimewa ini. Mengikut beberapa insan yang pernah bertemu dengan tokoh ini, kehidupannya sungguh zuhud, seorang yang sangat zahid (yg zuhud dunia) dan hanya mengabdikan dirinya untuk beribadat kepada Allah SWT. Maka tibalah kami ke rumah ini;

depan rumah habib

(more…)

Read Full Post »

Lafaz Bismillah.. dan salam kepada semua.

Selamat menyambut Hari Raya Qurban / Raya Haji / Eid Adha kepada semua saudara saudari seagama. Saya lama tidak notakan blog kerana masa yang di anugerahkan telah di luangkan untuk perkara2 lain yang mana saya lebih di perlukan org. Blog ini lebih kepada untuk nota diri sendiri jadi terpaksa berkorban demi amanah yang dipertanggungjawabkan.

Kini, dalam perjalanan ke Hanoi, Vietnam, dan ini merupakan lawatan pertama ke negara ‘Perancis’ timur ini. Harap2 semua yang dirancang akan dapat dijalankan dengan lancar. Terpaksa saya berkorban, berlepas di pagi2 hari raya Haji 1430H, tadi bila keluar rumah ke airport, anak2 bertanya adakah saya akan ke Hanoi dengan baju melayu dan kain pelikat? Hmmmm… boleh dicuba tu, tapi tak apalah, saya tidaklah mahu menjadi bahan rujukan sejarah kerana berbuat sedemikian. Anak2 tidak tahu yang dari pagi lagi jaket kulit, jeans dan satu kemeja ‘serbaguna’ telah siap2 digantung dalam kereta. Buah fikiran isteri saya gunapakai, bersolat sunat di masjid terdekat dengan airport, kemudian tukar baju dan terus check in. Jimat masa, almaklum time2 raya gini ramai warga2 kota yang pulang ke kampung utk ber hari raya dengan ayahbonda di kampung, sambil hadiri kenduri kahwin ‘musim cuti sekolah’ yang dah bermula.

Kerana pertukaran tugas di saat2 akhir, maka tiada lagi tiket MAS yang ada, berkorban lagi saya untuk mencuba Thai Airways. Bila saya tanya krew KLIA airport mereka kata makanan Thai Airways disediakan atau dibawa dari sana, maka saya kena lagi berkorban untuk lebih berhati2 dalam masa menjamah hidangan yg disediakan, itupun jika perlu. Rasanya kenyang makan nasi ‘kuning’ masakan mertua pagi2 tadi boleh bertahan sampai petang. Dan kerana last minute comfirmation terpaksa pulak saya transit di Bangkok sebelum ke Hanoi. Aduih, sempatlah bekalkan diri dgn ‘salonplast’ takut2 sakit belakang ni datang lagi. Syukurlah juga tiket business disediakan, maka taklah banyak sangat bebanan ‘clostophobie’ nanti.

Kerana apa tujuan saya ke Hanoi? Susah saya nak terangkan, bingung saya nak jelaskan kepada kedua mertua, mereka pun tidak dapat faham kenapa mesyuarat yang di aturkan oleh syarikat Malaysia mesti di buat di sana, pada hari Raya Korban pulak tu….. itulah aturanNya jawab saya, dan kita wajib yakin bahawa aturanNya inilah yang terbaik kerana DIA maha mengetahui. Namun jauh dalam hati, saya cuba memahami jiwa kecil orang yang berkepentingan dan diamanahkan mengatur jadual ini, apakah tujuannya…. bagi saya kenalah berkorban, demi kepentingan saudara saudari yang menjadi pengguna air di Selangor…..

Read Full Post »

bismillah

Lama saya menyepi, bukan bermakna tinggal terus dunia nota blog tapi sedikit perubahan dalam pembahagian masa sehingga tidak ternota apa yg nak dikongsikan. Jauh perjalanan yg dibuat dalam beberapa minggu ini, dari memburu ilmu dan pembawa ilmu, sehingga ke jejak mencari waliallah di selatan tanahair. Alhandulillah, walaupun sebahagian drp tujuan tidak tercapai, namun masa yg telah diluangkan tidaklah pula terasa sia-sia, semoga mendapat keberkatan Ilahi.

Dalam beberapa minggu ini pelbagai isu berkenaan agama Islam timbul, ditimbulkan dan menimbul dalam masyarakat awam. Mungkin ada yg tertanya2, tercari2 punca, tergaru2 kepala; sebenarnya apa yg sedang dibicarakan oleh cerdik pandai agama Islam ini. Antara isu penangkapan bekas mufti, aliran kaum muda, tauliah untuk berdakwah dsbnya. Tak kering juga isu berkenaan hidup bermazhab, kekal dengan satu2 mazhab secara total, tidak ikut mana2 mazhab dsbnya. Masyarakat awam spt kita menjadi kalut, dan agak ramai yang tak ambil pusing, cukuplah dengan menjalankan ibadat2 khusus spt solat lima waktu, puasa, zakat, dan menunaikan haji… yg lain2 tak di ambil pusing.

Maka timbul di fikiran saya; dari perkara2 ini timbul ruang untuk pengajaran,,, penderaan,,, dan penganiayaan

1. Pengajaran; inilah peluang untuk di ambil bagi memperkemaskan ilmu dan pengamatan dengan kefardhuan menuntut ilmu agama; secara syumul, sebagai cara hidup, dari mula bangun tidur sehingga kembali tidur di malam hari, dan peluang ini datang bukan lah sia-sia. Kalau dahulunya sesi-sesi kuliah agama di masjid surau secara tetap atau kuliah umum kita biarkan je ia lengang, inilah masanya untuk kita memenuhkan ruang kuliah, dan spt seorg student yg ‘belia’ (kata anak sulung saya), kita hadir dengan buku nota, pen, IC recorder dan seboleh2nya dengan kitab yg diajar. Barulah kita boleh di kategorikan sebagai seorg ‘penuntut’, dan bukan setakat dengar, yg kekadang hanya di pinggiran telinga.

2. Penderaan: Kepada yg masih tidak ambil peduli dengan perihal agama Islam yang sedang berlaku, takut2kan satu hari nanti, jiwa kita akan terasa penderaannya. Kerana cetek ilmu, mahu jalan pintas sahaja, dan sebolehnya ringkas, maka mudah kita terjebak dengan anasir2 nakal yg sengaja menggula2 kita dengan ajaran baru, mudah, modern, ‘muda’, tajdid, dsbnya, yang takut2kan akan menjadi penderaan kepada jiwa suci kita yang hauskan ilmu cuma tidak ambil berat berkenaan yg hakiki.

3. Penganiayaan: Jika berterusan membiarkan diri dalam penderaan ilmu, takut2kan terjerumus kita dalam kelompok teraniaya. Terpedaya dengan momokan ilmu oleh pembawa2 ilmu yang bertopengkan ijazah, pangkat, kedudukan dan gelaran, begitu pantas mendabik dada mencemuh pendapat yang ramai, pendapat yg telah di terima pakai oleh jumhur ulama terdahulu; termasuklah pendapat imam Mazhab yang 4. Maka jika terjadi yg sedemikian, maka jadilah kita manusia mangsa ‘penganiayaan’ dek kerana kita berat untuk meluangkan masa mencari ilmu yang fuqaha’, yg diterima pakai oleh ulama2 tersohor terdahulu.

Maka, pesan Baginda Rasullullah s.a.w adalah benar; antara perkara awal yg akan di cabut dari manusia akhir zaman, ialah ilmu agama yang hakiki, dan timbullah umat Islam yang ramai, tetapi mereka ibarat buih di lautan, lemah …..

Selamat mengerjakan haji buat teman2 seperjuangan. Moga2 kalian mendapat haji yg mabrur dan selamat pulang ke tanah air..

Read Full Post »

Dalam sehari dua ini, dan hari-hari mendatang saya pasti banyak betul berita hal penangkapan seorang penggiat agama, bekas Mufti, seorang yang berpendidikan tinggi, berkelayakkan dalam bidangnya, namun tidak mendapat tauliah untuk memberi ceramah kepada umum, khalayak di negeri Selangor yang kita diami ini. Dan tampil pelbagai pihak yang menyokong, mengkritik, mempersoalkan, memperlekehkan, mencemuh tindakan pihak yg diberi kuasa dalam bidang ini iaitu JAIS.

 Saya masih lagi menanti2 seseorang atau pihak yg berkedudukan untuk mengemukakan satu jalan penyelesaian akan satu fenomena masyarakat ini, iaitu, masyarakat yg dahagakan Ilmu, dan mencari2 arah, dan bilangan pendakwah ‘bertauliah’ yang agaknya kurang dari permintaan, atau proses mentauliahkan yg agak sukar, maka bercambahlah penceramah ‘bebas’ yang agak2 bebas menyuarakan pandangan dan sebarkan ilmu, yg kekadang mengelirukan masyarakat yg tengah dahaga ilmu itu.

Dalam bidang2 lain, seperti kedoktoran, guaman, pembinaan, semuanya ada badan induk atau yg menjaga kepentingan awam dengan adanya tauliah, klasifikasi, penggredan dsbnya, namun dalam bidang agama Islam, ia masih kekal di bawah naungan Sultan tiap2 negeri. (adakah ini peningggalan dakwah penjajah? waallahua’lam). Mungkin sudah tiba masanya untuk kita ada sistem penggredan para pendukung agama Islam, para penceramah, para pendakwah ini seperti kita mengklasifikasikan kontraktor (lesen PKK, CIDB, lesen IWK, SPAN, Petronas dsbnya). Jadi jika kontraktor kelas A, CIDB Grade 7 boleh masuk tender dan dapat award tender kerajaan dan badan berkanun tak kira di negeri mana, mungkin pendakwah kelas A Grade 7 (kriteria tinggi spt Mufti, bekas Mufti, dsbnya) boleh memberi ceramah di mana2 negeri di 1Malaysia, tanpa ada risiko di tangkap (tetapi masih lah perlu permit polis jika nak buat di tpt2 terbuka dan yg sewaktu dgnnya)… ini pendapat peribadi seseorang yg bergelumang dgn kerja2 kontraktor, juruperunding… 🙂 Mungkin juga jika tercapai hasrat sebegini, nanti akan ada kumpulan2 penceramah yg semuanya bertaraf Kelas A, Grade 7, berkumpulan dan bergerak sesama utk menjadi pendakwah professional, spt bergeraknya jurutera perunding, perunding kewangan dsbnya… ada peluang besar ni!

Image(48)

Pernah tengok kontrektor berjubah? nah engkau!

Walau apa2 pun penguatkuasaan undang2 yg hendak dilakukan, sepatutnya ianya di jalankan dengan penuh berhermat, tanpa ada unsur2 untuk mengaibkan org. DAN, walau apapun perbezaan pendapat tentang perkara2 berkenaan hukum hakam agama, perlulah ada sikap tolak ansur, selagi mana ianya tidak melanggar aqidah dan syariat. Moga2 akan ada lebih ramai penceramah, da’i yg terusan menyebarkan, menyedarkan org awam spt saya ini berkenaan ‘hidup bermazhab’, supaya saya tidak berterusan keliru dgn org2 yg sengaja menkucar kacirkan kefahaman saya!.

 

Read Full Post »

Older Posts »